Saya pernah bertengkar di halaman Facebook. Tindakan yang tidak bijak. Apa yang membuat saya berasa perlunya untuk “membetulkan” orang lain tentang sesuatu topik hangat—terutamanya yang berunsur perpecahan? Akibatnya, perkataan yang menimbulkan kemarahan, menyakitkan hati (ke atas diri saya), dan merosakkan peluang untuk bersaksi dengan baik bagi Yesus. Itulah hasil daripada “kemarahan internet”, iaitu istilah bagi perkataan keras yang dilontarkan setiap hari di dunia blog. Seperti yang dijelaskan oleh seorang pakar etika, orang ramai salah menganggap bahawa keberangan “adalah cara biasa untuk mengemukakan sesuatu idea.”
Nasihat bijak Paulus kepada Timotius memberikan amaran yang sama, “Jauhkan diri daripada perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna. Engkau tahu bahawa semua itu hanya menimbulkan pertengkaran. Hamba Tuhan tidak sepatutnya bertengkar. Dia mesti ramah dengan semua orang dan dapat mengajar orang dengan baik dan sabar” (2 Timotius 2:23–24).
Nasihat Paulus yang baik dan ditulis kepada Timotius dari penjara di Roma, adalah untuk mempersiapkan gembala yang masih muda itu untuk tujuan mengajar kebenaran Tuhan. Nasihat Paulus masih sesuai untuk kita pada hari ini, terutamanya perbualan yang berkenaan dengan iman kita. “Dia mesti menasihati lawannya dengan lemah lembut. Mudah-mudahan Allah memberi mereka peluang untuk bertaubat daripada dosa dan untuk mengenal ajaran yang benar” (ayat 25).
Bercakap dengan orang lain secara lemah lembut adalah sebahagian cabaran ini, dan bukan hanya untuk para gembala. Bagi semua orang yang mengasihi Tuhan dan berusaha untuk menyampaikan Berita Baik-Nya kepada orang lain, semoga kita mengatakan kebenaran-Nya dengan hati yang penuh kasih. Roh Kudus akan membantu kita mengucapkan setiap perkataan.