Pemberian nama adalah hal yang penting—sama ada kepada anak, syarikat atau haiwan kesayangan. Ibu bapa, peniaga dan keluarga memeras otak untuk memilih nama yang terbaik. Antara nama-nama yang klasik hingga nama yang unik, kebanyakan orang akan memilih nama yang mengandungi maksud penting. Misalnya nama Cina saya. Ia sebenarnya merangkumi aspirasi ibu bapa saya yang menginginkan saya menjadi orang yang bijaksana.
Pada zaman Alkitab, nama juga adalah sangat penting. Musa tahu kepentingan ini. Apabila Tuhan menampakkan diri-Nya kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak dan memberinya misi untuk membebaskan orang Israel daripada Firaun yang berkuasa, dia menanyakan Tuhan: “Siapakah nama-[Mu]?” (Lihat Keluaran 3:13). Tuhan menjawab, “Aku adalah AKU” (ayat 14). “AKU” menyatakan bahawa Dialah Tuhan yang kekal, mampu diri, wujud sebelum segala sesuatu, wujud sendiri, penuh kuasa dan tidak terhad. Dia satu-satunya TUHAN Raja dan wujud tanpa bergantung pada apa-apa pun di alam semesta ini. Dia tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya. Tiada apa-apa dapat menyebabkan Dia mengubah sifat-Nya atau menjejaskan integriti-Nya.
Nama Tuhan adalah dasar keyakinan kita yang tidak tergoyah, supaya kita tetap beriman terhadap kesetiaan-Nya yang kekal. Dengan memahami nama Tuhan, ia akan membantu kita mempercayai Dia dalam kehidupan harian dan melaksanakan tanggungjawab kita. Ini kerana kita tahu “AKU” yang tidak terhad menyertai kita, Dia tetap sama.