Semasa sambutan Krismas yang ke-12, budak lelaki itu menunggu dengan kesungguhan untuk membuka hadiahnya yang terletak di bawah pokok Krismas. Dia menginginkan sebuah basikal baru, namun harapannya hancur—hadiah terakhir yang diterimanya ialah sebuah kamus. Pada muka surat yang pertama tertulisnya: “Kepada Charles. Daripada Ibu dan Ayah yang penuh kasih, 1958. Semoga anda bertambah maju dalam pelajaran.”

10 tahun kemudian, Chuck mendapat keputusan yang cemerlang. Dia menamatkan pengajian dari universiti dan melanjutkan pelajaran dalam bidang penerbangan. Dia menjadi seorang juruterbang yang bekerja di luar negara, memenuhi hasratnya untuk menolong mereka yang ada kekurangan dan berkongsi tentang Yesus dengan mereka. Sekarang setelah 60 tahun menerima hadiah itu, dia berkongsi kamus yang sangat lama itu dengan cucunya. Ia adalah satu simbol kasih ibu bapa yang membuat pelaburan bagi masa depannya, dan Chuck masih menghargainya. Namun, dia berasa lebih bersyukur terhadap pelaburan harian yang dilakukan oleh ibu bapanya dalam membina imannya dengan mengajarnya tentang Tuhan dan firman Tuhan.

Ulangan 11 membincangkan kepentingan mengambil semua peluang untuk berkongsi firman Tuhan kepada anak: “Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja” (AYAT 19).

Bagi Chuck, nilai-nilai abadi yang ditanam sewaktu dia masih kecil membuat dia mengabdikan diri kepada Tuhan sepanjang hidup. Dengan kuasa Tuhan, bayangkan hasil yang mungkin timbul daripada pelaburan kita dalam pertumbuhan rohani seseorang.