Sebuah restoran yang terkenal di Bangkok menyajikan kuah sup yang telah dimasak selama 45 tahun dan ditambah sedikit bahan setiap hari. Amalan ini, disebut “sup abadi”, wujud sejak zaman pertengahan. Seperti sesetengah “makanan” yang rasanya lebih sedap beberapa hari kemudian, masa memasak yang dilanjutkan mempersedap makanan itu. Restoran tersebut telah memenangi beberapa anugerah untuk kuah sup yang paling enak di Thailand.

Perkara yang baik sering mengambil masa, namun manusia bergelut dengan kesabaran. Persoalan “Berapa lama?” sering dibaca dalam seluruh Alkitab. Satu contoh yang sungguh memilukan adalah nabi Habakuk, yang telah memulakan kitabnya dengan bertanya, “Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku dan menyelamatkan kami daripada keganasan?” (HABAKUK 1:2). Habakuk (namanya bermaksud “memeluk”) menubuatkan penghakiman Tuhan terhadap negaranya (Yehuda) melalui pencerobohan empayar Babilonia yang kejam, dan dia tidak memahami sebabnya Tuhan boleh mengizinkan orang jahat untuk menjadi makmur ketika mereka mengeksploitasi orang lain. Namun Tuhan menjanjikan harapan dan pemulihan pada masa-Nya. “Tulislah perkhabaran itu kerana belum sampai masanya untuk berlaku … Walaupun nampaknya masa itu lambat datang, tetapi tunggu saja; hal itu akan pasti berlaku dan tidak akan ditangguhkan” (HABAKUK 2:3).

Penawanan Babilonia berlangsung selama 70 tahun. Bagi manusia, ia adalah jangka masa yang panjang, tetapi Tuhan sentiasa setia dan benar terhadap firman-Nya.

Sesetengah berkat besar Tuhan mungkin mengambil masa. Walaupun lama, teruskanlah memandang kepada-Nya! Dia menyediakan setiap berkat dengan kebijaksanaan dan penjagaan yang sempurna—memang berbaloi untuk sentiasa menunggu-Nya.