Semasa belajar memandu di Chennai, India, saya perlu melalui kesesakan lalu lintas di bandar pada waktu awal pagi. Ini membuat saya gelisah sehingga saya menjadi panik lalu terpijak injak pemecut, sedangkan saya sepatutnya menekan brek. Apa yang mengejutkan, kenderaan kami meluru ke depan tetapi terhenti secara tiba-tiba. Rupanya pengajar saya menekan brek di tempat duduk penumpangnya. Walaupun saya menjadi panik, pengajar saya bertindak balas dengan tenang.
Markus 4:35-41 menggambarkan Yesus tidur walaupun ribut melanda, sementara itu pengikut-pengikut-Nya pula panik. Pada masa mereka membangunkan-Nya, barulah Dia bangun untuk menenangkan ribut tersebut. Bagaimanakah Yesus boleh begitu tenang manakala pengikut-pengikut-Nya—nelayan-nelayan yang amat berpengalaman dan telah banyak kali menyaksikan ribut kencang pula berasa begitu risau?
Yesus tetap bertenang kerana Dia berkuasa sepenuhnya dalam situasi tersebut. Tuhan kita adalah Maha Kuasa dan berdaulat atas ciptaan dan segala-galanya, termasuklah apa pun keadaan yang kita hadapi. Tiada keadaan yang melampaui kekuasaannya. Sebagaimana Dia boleh menenangkan ribut (ayat 39), Dia boleh membantu kita melalui krisis dan cabaran dalam hidup kita.
Pada hari ini, jika anda berada di tengah-tengah situasi yang menakutkan, ingatlah bahawa Yesus berkuasa sepenuhnya. Dia bukan sahaja dapat membawa kedamaian dan ketenangan ke dalam hati anda, malah dapat membantu anda melalui ribut.