Sekumpulan pekerja sedang memotong ais dari tasik yang beku dan menyimpannya di gudang ais. Salah seorang menyedari bahawa dia telah kehilangan jam tangannya di dalam bangunan yang tiada tingkap itu. Namun dia dan rakan-rakannya gagal menemukannya.
Setelah mereka berputus asa, seorang budak lelaki yang melihat mereka keluar pula masuk ke dalam bangunan itu sendiri. Tidak lama kemudian, dia muncul dengan jam tangan tersebut. Apabila ditanya bagaimana dia menjumpainya, dia menjawab, “Saya cuma duduk berdiam diri, dan tidak lama kemudian saya mendengarnya berdetik.”
Alkitab banyak membincangkan kepentingan untuk berdiam. Tidak hairanlah, kerana Tuhan kadangkala berbicara melalui bisikan (1 Raja-Raja 19:12). Dalam kesibukan hidup, kita kadangkala sukar mendengarkan-Nya. Tetapi jika kita berhenti seketika, mengadakan masa renungan dengan-Nya dan membaca firman-Nya, kita akan mendengar suara-Nya yang lembut.
Mazmur 37:1-7 meyakinkan kita bahawa kita boleh percaya kepada Tuhan yang menyelamatkan kita daripada “tipu muslihat” orang jahat, melindungi kita dan membantu kita supaya tetap setia. Tetapi bagaimana kita dapat melakukannya apabila keadaan huru-hara berlaku?
Ayat 7 menyatakan: “Nantikanlah Tuhan dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak.” Kita boleh bermula dengan belajar untuk berdiam selama beberapa minit selepas berdoa. Atau membaca Alkitab dengan senyap dan mengizinkan firman-Nya meresap ke dalam hati kita. Kemudian, mungkin kita akan mendengarkan kebijaksanaan-Nya berbicara dengan kita, perlahan dan stabil seperti jam yang sedang berdetik.