Kawan saya Sharon meninggal dunia setahun sebelum kematian Melissa, anak perempuan remaja kawan saya, Dave. Mereka berdua telah terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang tragis. Pada suatu malam, Sharon dan Melissa muncul dalam mimpi saya. Mereka tertawa dan bercakap sementara mereka menggantungkan panji-panji di sebuah dewan besar dan tidak melihat saya ketika saya melangkah masuk ke dewan itu. Sebuah meja panjang dengan alas kain putih telah disediakan dengan pinggan dan cawan emas. Saya bertanya sama ada saya boleh bantu untuk menghias, tetapi mereka nampaknya tidak mendengar saya dan terus bekerja. Kemudian Sharon berkata, “Parti ini merupakan majlis perkahwinan Melissa.”
“Siapakah pengantin lelaki?” tanya saya. Mereka tidak menjawab tetapi tersenyum dan saling memandang. Akhirnya, saya sedar—Yesus! “Yesus ialah pengantin lelaki itu,” saya berbisik setelah saya bangun.
Mimpi saya mengingatkan saya tentang perayaan yang menggembirakan, ia disambut oleh orang percaya apabila Yesus kembali. Sambutan ini digambarkan dalam Wahyu sebagai perayaan mewah yang dipanggil “majlis perkahwinan Anak Domba” (19:9). Yohanes Pembaptis, yang mempersiapkan orang untuk kedatangan pertama Kristus, telah memanggil-Nya “Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia” (Yohanes 1:29). Dia juga merujuk Yesus sebagai “pengantin lelaki” dan dirinya sendiri sebagai “sahabat pengantin lelaki” yang menunggu kedatangan Yesus (3:29).
Pada hari majlis perkahwinan itu, kita akan menikmati persekutuan tanpa henti dengan Yesus, iaitu pengantin lelaki kita, serta Sharon, Melissa dan semua umat Tuhan selama-lamanya.