Pada akhir abad ke-16, Raja Belanda, William of Orange dengan sengaja membanjiri sebahagian besar tanah negaranya. Raja ini mengambil langkah yang drastik untuk mengusir orang Sepanyol yang menceroboh negaranya. Dia tidak berjaya, malah sebahagian besar tanah ladang telah ditenggelami dalam air laut. “Langkah yang terdesak diambil pada waktu terdesak,” kata mereka.
Pada zaman Yesaya, Yerusalem juga mengambil tindakan terdesak apabila tentera Asyur datang menyerang. Mereka bukan sahaja membina kolam air untuk menyimpan air, malah merobohkan sesetengah rumah untuk memperbaiki tembok kota. Ini mungkin taktik-taktik yang bijak, tetapi mereka mengabaikan langkah yang paling penting. “Kamu membina kolam air di dalam kota bagi menampung air yang mengalir dari kolam yang lama,” kata Tuhan, “tetapi kamu tidak memperhatikan Allah yang sejak dahulu telah merancangkan segala perkara itu dan yang menyebabkan semuanya berlaku” (Yesaya 22:11).
Kita mungkin tidak perlu menghadapi tentera sebenar di luar rumah kita pada hari ini. “Pertempuran sentiasa berlaku melalui cara dan orang biasa,” kata Oswald Chambers. Namun, “pertempuran” biasa itu adalah ancaman sebenar. Syukurlah, pertempuran ini juga membawa kita berpaling kepada-Nya terlebih dahulu untuk meminta apa yang kita perlukan.
Apabila kesukaran dan kerengsaan hidup melanda, adakah kita akan melihatnya sebagai peluang untuk berpaling kepada Tuhan? Atau adakah kita sendiri akan mencari penyelesaian yang terdesak?