Dalam bukunya “Mere Christianity”, C.S. Lewis menyeru kita bertanya pada diri sendiri beberapa soalan untuk mengetahui sama ada kita sombong: “Adakah saya berasa geram apabila orang lain mengejek saya, atau mengabaikan saya, … atau merendah-rendahkan saya, atau menunjuk-nunjuk diri?” Lewis melihat kesombongan sebagai sikap buruk yang “paling jahat” dan penyebab utama penderitaan dalam setiap keluarga dan negara. Dia menyebutnya sebagai “barah rohani” yang menghakis kasih, kepuasan hati dan akal budi kita.
Masalah kesombongan telah lama wujud sepanjang zaman. Melalui nabi Yehezkiel, Tuhan mengingatkan pemimpin di kota pesisir Tirus yang makmur tentang kesombongannya. Dia berkata bahawa kesombongan raja akan menyebabkan kejatuhannya: “Kerana engkau menyangka engkau sebijak dewa, Aku akan mengirim musuh yang kejam untuk menyerang engkau” (Yehezkiel 28:6-7). Dengan itu, dia akan menyedari bahawa dia hanyalah manusia fana dan bukan dewa (AYAT 9).
Sikap yang bertentangan dengan kesombongan adalah kerendahan hati, dan Lewis menyebutnya sebagai suatu nilai murni yang kita terima melalui pengenalan akan Tuhan. Lewis berkata bahawa apabila kita berhubung dengan-Nya, kita menjadi “gembira dalam kerendahan hati,” berasa lega apabila kita dibebaskan daripada kejahilan tentang harga diri kita yang sebelum ini membuatkan kita gelisah dan tidak gembira.
Semakin kita menyembah Tuhan, semakin kita mengenal-Nya dan dapat merendahkan diri di hadapan-Nya. Marilah kita menjadi orang yang mengasihi dan melayani dengan sukacita dan rendah hati.