Beberapa dekad yang lalu, Dr. Jerry Motto menemukan kuasa daripada “surat prihatin.” Penyelidikannya mencatatkan bahawa pengiriman surat yang menyatakan keprihatinan kepada pesakit yang keluar dari hospital dan pernah cuba membunuh diri dapat mengurangkan kadar pengulangan sebanyak 50%. Baru-baru ini, penyedia penjagaan kesihatan telah menemukan semula kuasa ini ketika mengirim teks, kad pos, dan bahkan meme media sosial sebagai rawatan susulan bagi mereka yang menderita kemurungan serius.
21 “kitab” dalam Alkitab sebenarnya adalah surat-surat yang penuh keprihatinan kepada orang percaya pada abad pertama yang bergelut dengan pelbagai sebab. Paulus, Yakobus dan Yohanes menulis surat untuk menjelaskan asas-asas iman dan penyembahan, serta bagaimana menyelesaikan konflik dan membina perpaduan.
Namun, rasul Petrus menulis secara khusus kepada orang percaya yang dianiayai oleh Nero, maharaja Roma. Petrus mengingatkan mereka tentang nilai sejati mereka kepada Tuhan, dan menjelaskannya dengan cara ini dalam 1 Petrus 2:9, “kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri.” Ini membuka pandangan mereka kepada tujuan besar Tuhan bagi mereka di dunia: “untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang.”
Tuhan kita yang agung sendiri menulis sebuah buku yang penuh dengan surat-surat prihatin kepada kita—Alkitab yang diilhamkan—supaya kita selalu mempunyai catatan tentang nilai kita sebagai milik-Nya. Semoga kita membaca surat-surat-Nya setiap hari dan berkongsinya kepada orang lain yang memerlukan harapan yang ditawarkan oleh Yesus.