Seorang pendengar menelefon ke stesen radio Kristian dan berkata bahawa isterinya akan pulang ke rumah dari hospital setelah menjalani pembedahan. Kemudian dia berkongsi sesuatu yang amat menyentuh hati saya: “Setiap jemaah, iaitu anggota dalam keluarga Tuhan, sangat membantu untuk menjaga kami sepanjang masa ini.”
Ketika saya mendengar perkongsiannya yang sederhana ini, saya diingatkan tentang nilai dan keperluan orang Kristian dalam memberikan layanan serta penjagaan yang baik. Saya mula berfikir bahawa kasih dan sokongan sesama orang percaya merupakan salah satu cara terbaik untuk menunjukkan kuasa Injil yang mampu mengubah hidup.
Dalam 1 Petrus, rasul Petrus menulis sepucuk surat untuk diedarkan kepada jemaah-jemaah abad pertama di wilayah yang sekarang menjadi negara Turki. Dalam surat itu, dia menggesa para pembacanya melakukan sesuatu yang ditulis oleh sahabatnya, Paulus dalam Roma 12:13: “Sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah.” Petrus berkata, “Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati … saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut,” dan dia meminta mereka menggunakan kurnia yang telah diberikan Tuhan untuk “kepentingan semua orang” (1 Petrus 4:8-10). Inilah ajaran yang jelas kepada semua orang yang percaya kepada Yesus tentang bagaimana kita seharusnya memperlakukan sesama orang percaya.
Kesemua kita mengenal orang seperti isteri pendengar itu—mereka yang memerlukan seseorang untuk datang dan menunjukkan keprihatinan dan kasih Kristus kepada mereka. Dengan kekuatan Tuhan, semoga kita menjadi orang yang dikenali sebagai “sangat membantu.”