Karya-karya seni Michelangelo menerokai banyak aspek kehidupan Yesus, namun salah satu yang paling menusuk hati juga adalah yang paling sederhana. Pada tahun 1540-an, dia melakarkan sebuah pietà (lukisan tentang ibu Yesus mendakap jenazah Kristus dalam pangkuannya) untuk sahabatnya, Vittoria Colonna. Lukisan yang dilakar dengan kapur itu menggambarkan Maria sedang mendongak ke langit ketika dia memeluk susuk tubuh Anaknya yang kaku. Di belakang Maria, terpancarnya alur cahaya dari kayu salib yang menuliskan kata-kata daripada karya Dante, Paradise, “Mereka tidak dapat bayangkan berapa banyak darah telah dicurahkan di situ.” Maksud Michelangelo sangat mendalam: ketika kita merenungkan kematian Yesus, kita mesti mengingati pengorbanan-Nya.
Harga yang telah dibayar oleh Yesus dijelaskan dalam pernyataan-Nya, “Sudah selesai” (Yohanes 19:30) sebelum Dia menyerahkan nyawa-Nya. Istilah “sudah selesai” (tetelestai) membawa beberapa pengertian—untuk menunjukkan bil yang telah dibayar, tugas sudah beres, korban telah dipersembahkan, karya agung sudah siap. Setiap satunya berkaitan dengan apa yang dilakukan Yesus bagi pihak kita di kayu salib! Mungkin itu sebabnya rasul Paulus menulis, “Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini” (Galatia 6:14).
Kerelaan Yesus untuk menggantikan kita merupakan bukti kekal bahawa Tuhan sangat mengasihi kita. Ketika kita merenungkan harga yang dibayar-Nya, semoga kita juga menyanjung kasih-Nya—dan bersyukur atas apa yang sudah diselesaikan-Nya di kayu salib.
ILHAM
Mengapakah Injil Yohanes begitu berbeza daripada Injil Matius, Markus dan Lukas? Kemungkinan besar jawapannya adalah Yohanes menulis dalam keadaan yang berbeza pada hujung abad ke-1 Masihi. Cabaran utama yang dihadapi penulis Matius, Markus, dan Lukas: adakah Yesus memang Mesias yang dijanjikan untuk memulakan Pemerintahan Tuhan. Sementara itu, persoalan yang terdesak bagi Yohanes adalah adakah Yesus sepenuhnya manusia dan sepenuhnya Tuhan. Beberapa guru palsu telah menyatakan bahawa Yesus hanyalah manusia dan bukan benar-benar Tuhan. Yang lain mengatakan bahawa Yesus mungkin ilahi, tetapi Dia hanya kelihatan seorang manusia. Yohanes menulis untuk melawan kedua-dua ajaran sesat tersebut. Hanya Yesus yang sepenuhnya manusia dan sepenuhnya Tuhan dapat memberikan keselamatan kepada manusia berdosa. Tema konsisten yang ditonjolkan dalam seluruh Injil Yohanes adalah Yesus adalah penyataan Tuhan itu sendiri, yang memberikan hidup kekal kepada semua orang yang percaya (lihat 3:16).Diadaptasikan daripada Understanding the Bible: The Gospels. Baca yang selanjutnya di DiscoverySeries.org/Q0414.