Pada tahun 2020, penularan wabak virus korona mengakibatkan dunia berada dalam ketakutan. Penduduk dikuarantin, negara-negara terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan, penerbangan dan acara besar-besaran dibatalkan. Mereka yang tinggal di kawasan tanpa kes korona turut berasa takut kalau-kalau mereka juga akan dijangkiti virus tersebut. Graham Davey, seorang pakar dalam bidang kekhuatiran, percaya bahawa berita berunsur negatif yang disiarkan akan “membuat anda bertambah sedih dan khuatir.” Ada sebuah meme yang tersebar dalam media sosial tentang seorang lelaki yang sedang menonton berita di televisyen dan dia bertanya bagaimana untuk berhenti berasa bimbang. Sebagai respons kepadanya, seorang lagi di bilik itu tampil memadamkan televisyen dan dengan cara itu, penyelesaian adalah mengalihkan fokus pandangannya!
Lukas 12 memberi kita beberapa nasihat untuk membantu kita jangan khuatir. “Utamakanlah Pemerintahan Allah” (ayat 31). Kita mengutamakan Pemerintahan Allah apabila kita menumpukan perhatian kepada janji Tuhan bahawa kita mempunyai warisan di syurga. Ketika kita menghadapi kesukaran, kita dapat mengalihkan fokus kita dan ingat bahawa Tuhan memperhatikan kita dan Dia tahu apa yang kita perlukan (ayat 24-30).
Yesus mendorong pengikut-pengikut-Nya: “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya” (ayat 32). Tuhan suka memberkati kita! Mari kita menyembah-Nya kerana kita mengetahui bahawa Dia lebih mengambil berat tentang kita daripada burung-burung di udara dan bunga-bunga di padang (ayat 22-29). Walaupun pada masa kesusahan, kita boleh membaca firman-Nya, mendoakan kedamaian-Nya serta percaya kepada Tuhan kita yang baik dan setia.
ILHAM
Pemerintahan Tuhan ialah tema utama bagi pelayanan Yesus dalam kitab Lukas (Luke 4:43), dan ia sering menentang keutamaan dunia. Misalnya, Pemerintahan Tuhan dinikmati oleh orang yang miskin (6:20) dan kanak-kanak (18:17), namun orang kaya pula ada masalah untuk menikmatinya (ayat 24–25). Seorang penjahat yang dijatuhkan hukuman mati boleh pergi ke Firdaus melalui Yesus (23:42–43). Walaupun ramai telah dijemput, bukan semua menerima jemputan itu (14:15–24). Antara orang yang “datang dari timur dan barat, dari utara dan selatan,” ada “orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir” (13:29–30).Layarilah ChristianUniversity.org/OT329 (bahasa Inggeris) untuk mempelajari selanjutnya mengenai Pemerintahan Tuhan berdasarkan Alkitab.