Ketika James baru berumur 6 tahun, abangnya David meninggal secara tragis dalam satu kemalangan luncur ais. Itu berlaku sehari sebelum hari jadi David yang ke-14. Pada tahun-tahun kemudian, James berusaha bersungguh-sungguh untuk menghiburkan ibunya, Margaret, yang dalam duka laranya kadang-kadang mengingatkan dirinya bahawa anak sulungnya itu tidaklah perlu menghadapi cabaran orang dewasa. Dalam penulisan James Barrie yang penuh imaginasi, berdekad-dekad kemudian, idea yang sama itu telah berkembang dan mengilhamkan seorang watak yang disukai ramai dalam cerita kanak-kanak, Peter Pan yang tidak akan menjadi tua. Seperti pokok bunga yang menjorok keluar dari jalan yang berturap, demikianlah sesuatu yang baik muncul dari tanah keras yang bagaikan kepiluan yang tidak terungkap.

Betapa hati kita terhibur memikirkan bagaimana Tuhan dengan cara yang jauh lebih kreatif mampu membawa kebaikan daripada keadaan kita yang paling sukar. Gambaran yang indah tentang kebenaran ini berlaku kepada Rut dalam kisah Perjanjian Lama. Naomi yang kematian dua orang anak lelakinya hidup azab sengsara tanpa apa-apa sokongan. Menantu perempuannya yang sudah menjadi balu memutuskan untuk tinggal bersama dengannya, menyaranya dan menyembah Tuhannya (Rut 1:6). Akhirnya, pemeliharaan daripada Tuhan memberi mereka sukacita yang tidak terduga. Rut berkahwin lagi dan mendapat seorang anak, dan mereka “menamakan anak itu Obed … Obed inilah yang kemudian menjadi bapa Isai, dan Isai menjadi bapa Daud” (4:17). Dia akan disebut dalam senarai nenek moyang Yesus (Matius 1:5).

Belas kasihan Tuhan melampaui pemahaman kita dan menjangkau kita di tempat-tempat yang tidak disangka. Teruslah cari belas kasihan Tuhan dan mungkin anda akan menemukannya pada hari ini!