Seorang lelaki masuk ke sebuah kedai serbaneka di Wollongong, Australia. Dia meletakkan wang kertas $20 di kaunter dan meminta pertukaran duit kecil. Ketika juruwang membuka laci kaunter tunai, lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol dan menuntut semua wang yang ada. Dengan serta-merta kerani itu memberikannya. Lelaki itu pun mengambil wang tersebut, dan bergegas melarikan diri tanpa mengambil wang kertas $20 di kaunter. Berapakah jumlah wang yang diperolehnya dari laci? Lima belas dolar.
Kadangkala setiap kita bertindak bodoh—walaupun kita cuba melakukan perkara yang betul, bukan seperti perompak itu. Yang pentingnya, kita belajar daripada tingkah laku kita yang bodoh. Tanpa pembetulan, pilihan kita yang salah akan menjadi kebiasaan yang kemudian membentuk perwatakan kita secara negatif. Kita akan menjadi orang yang “menunjukkan kebodohan kepada semua orang” (Pengkhutbah 10:3).
Kadang-kadang, kita sukar untuk mengakui kebodohan diri kerana ia memerlukan usaha pembetulan. Mungkin kita perlu memikirkan kelemahan perwatakan kita dan itu satu proses yang menyakitkan. Atau kita perlu mengakui bahawa sesuatu keputusan itu telah diambil secara terburu-buru dan lain kali kita perlu lebih berhati-hati. Apa-apa pun alasannya, tidak berbaloi sekiranya kita terus tidak mempedulikan tingkah laku kita yang bodoh itu.
Syukurlah, Tuhan dapat menggunakan kebodohan kita untuk mendisiplinkan dan membentuk kita. Disiplin “membuat kita susah hati,” tetapi latihannya menghasilkan buah yang baik dalam jangka panjang (Ibrani 12:11). Marilah kita menerima disiplin Bapa Syurgawi untuk tingkah laku kita yang bodoh dan meminta Dia menjadikan kita anak lelaki dan anak perempuan yang dikehendaki-Nya.