Selama 15 tahun Mike Burden mengadakan pertemuan yang penuh kebencian terhadap kaum lain di kedai cenderamatanya di sebuah bandar kecil. Tetapi pada tahun 2012, ketika isterinya mula mempersoalkan penglibatannya, hatinya menjadi lembut. Dia menyedari bahawa pandangannya terhadap perkauman adalah salah dan dia ingin berubah. Keputusannya mengakibatkan kumpulan ekstremis itu membalas dendam terhadapnya dan menghalau keluarganya dari pangsapuri yang disewakan daripada salah seorang ahli kumpulan tersebut.
Ke manakah dia pergi untuk mendapatkan pertolongan? Apa yang mengejutkan ialah dia datang kepada seorang pastor berkulit hitam yang dibencinya dahulu. Pastor itu dan jemaahnya memberikan tempat tinggal serta keperluan harian kepada mereka sekeluarga untuk sementara waktu. Ketika Pastor Kennedy ditanyakan sebab dia bersetuju untuk membantu, dia menjelaskan, “Yesus Kristus melakukan perkara yang sangat tidak popular. Apabila tiba masa untuk menolong, anda melakukan apa yang dikehendaki Tuhan.” Beberapa waktu kemudian, Mike berucap di gereja Pastor Kennedy dan meminta maaf daripada masyarakat berkulit hitam atas penglibatannya dalam menyebarkan kebencian dan fahaman perkauman.
Yesus mengajarkan beberapa idea yang tidak popular dalam Khutbah-Nya di atas Bukit: “Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya … Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu” (Matius 5:42, 44). Inilah cara pemikiran yang diterbalikkan Tuhan dan kita diperintahkan untuk mentaatinya. Meskipun ia kelihatan seperti satu kelemahan, tetapi sebenarnya ia dilakukan dengan kekuatan Tuhan.
Tuhan yang mengajar kita adalah Peribadi yang memberi kita kuasa untuk meneruskan kehidupan yang bertentangan dengan dunia ini, tetapi menurut kehendak-Nya.