Baru-baru ini, saya dan seorang rakan mengunjungi laluan pejalan kaki kegemaran saya. Kami mendaki bukit yang berangin dan berjalan melintasi padang yang ditumbuhi bunga liar lalu menuju ke hutan pokok pain yang menjulang tinggi. Kemudian kami menuruni lembah dan berhenti seketika. Awan yang kelihatan lembut terapung di atas kami. Sungai berhampiran mengalir perlahan-lahan. Bunyi yang kedengaran hanyalah kicauan burung. Kami berdiri senyap selama 15 minit untuk menikmati suasana yang indah itu.

Ternyata kunjungan kami pada hari itu benar-benar menyihatkan. Menurut pengkaji dari Universiti Derby, orang yang cenderung menikmati alam semula jadi mengalami tahap kegembiraan yang lebih tinggi dan tahap kerisauan yang lebih rendah. Mereka juga memiliki keinginan yang lebih besar untuk memelihara alam. Bagaimanapun, kita tidak hanya berjalan merentasi hutan. Anda perlu memandang awan dan mendengar kicauan burung. Yang pentingnya, bukan berada di sekitar alam semula jadi, tetapi memperhatikannya.

Mungkinkah ada maksud rohani di sebalik kebaikan alam semula jadi? Paulus berkata bahawa ciptaan memperlihatkan kuasa dan sifat Tuhan (Roma 1:20). Tuhan memerintahkan Ayub memandang lautan, langit dan bintang-bintang sebagai bukti kehadiran-Nya (Ayub 38–39). Yesus berkata bahawa memandang “burung di udara” dan “bunga-bunga di padang” boleh menunjukkan pemeliharaan Tuhan dan mengurangkan kerisauan (Matius 6:25–30). Dalam Alkitab, memperhatikan alam semula jadi merupakan amalan kerohanian.

Para ahli saintis kagum akan sebabnya alam semula jadi membawa pengaruh yang begitu positif kepada kita. Mungkin salah satu sebabnya adalah kita mendapat sekilas pandang akan peribadi Tuhan yang telah menciptanya dan memperhatikan kita.