Seorang bapa muda menggendong bayi lelakinya sambil bernyanyi dan mendodoinya dengan irama lagu yang lembut dan menenangkan. Walaupun bayi itu mempunyai kecacatan pendengaran, tidak dapat mendengar melodi yang dialunkan ataupun lirik lagu, si bapa terus bernyanyi untuk bayinya dengan lembut dan penuh kasih. Usahanya dibalas dengan senyuman indah anak kecilnya.

Gambaran interaksi antara bapa dan anak tersebut memaparkan kesamaan yang sangat jelas dengan kata-kata Zefanya. Nabi Perjanjian Lama itu berkata bahawa Tuhan akan bernyanyi dengan girang kerana anak perempuan-Nya iaitu umat Yerusalem (Zefanya 3:17). Tuhan senang melakukan perkara baik bagi umat yang amat dikasihi-Nya, seperti menghapus hukuman mereka dan mengusir semua musuh mereka (ayat 15). Zefanya berkata bahawa mereka tidak perlu berasa takut lagi, sebaliknya mereka harus bersukacita.

Kita sebagai anak-anak Tuhan yang ditebus melalui pengorbanan Yesus Kristus, ada kalanya juga menghidap kecacatan pendengaran. Kita tidak dapat atau mungkin tidak ingin menalakan pendengaran kita sesuai dengan lagu kasih Tuhan yang penuh girang kerana kita. Kasih Tuhan terhadap kita adalah sama dengan kasih bapa muda tersebut, yang bernyanyi untuk bayinya meskipun bayi itu tidak dapat mendengar. Tuhan telah menghapus hukuman kita dan memberi kita sebab untuk bersukacita. Mungkin kita harus mendengar sukacita yang jelas kedengaran dalam suara Tuhan dengan lebih teliti. Bapa, tolonglah kami mendengarkan melodi kasih-Mu yang indah, dan menikmati pelukan dalam tangan-Mu yang selamat.