Saya boleh menutup mata dan mengenang kembali waktu silam di sebuah rumah yang saya membesar. Saya teringat waktu saya dan ayah memerhatikan bintang-bintang di langit. Kami bergilir-gilir melihat bintang-bintang itu melalui teleskopnya dan cuba memfokuskan bintik-bintik yang bersinar dan berkelipan. Titik-titik cahaya yang terdiri daripada haba dan api ini menonjol dengan amat jelas berlatarkan langit yang gelap pekat.

Adakah anda menganggap diri anda sebagai bintang yang bersinar? Saya bukannya bercakap tentang tahap pencapaian manusia, tetapi hidup kita yang tampil berbeza daripada keadaan sekeliling yang gelap, yang penuh dengan kehancuran dan kejahatan. Rasul Paulus memberitahu jemaah di Filipi bahawa Tuhan akan bersinar di dalam dan melalui mereka selagi mereka berpegang teguh kepada firman Tuhan “tanpa bersungut-sungut dan bertengkar” (Filipi 2:14–16).

Kesatuan kita dengan orang percaya yang lain serta iman kepada Tuhan boleh membezakan kita daripada dunia ini. Tetapi masalahnya, hal ini tidak terjadi secara semula jadi. Kita perlu terus-menerus berjuang untuk mengalahkan cubaan supaya kita boleh mengekalkan hubungan intim dengan Tuhan. Kita perlu berusaha untuk melawan sifat mementingkan diri supaya kita mampu hidup harmoni dengan saudara dan saudari seiman kita.

Namun, kita masih ada harapan. Roh Tuhan yang hidup dalam setiap orang percaya memberi kita kuasa untuk mengawal diri, memiliki sifat baik hati dan setia (Galatia 5:22–23). Sebagaimana kita dipanggil untuk menjalani kehidupan yang berbeza daripada sifat semula jadi kita, kuasa Tuhan yang luar biasa akan menolong kita melakukan hal yang mustahil ini (Filipi 2:13). Jika setiap orang percaya menjadi “bintang yang bersinar” melalui kuasa Roh Kudus, bayangkanlah bagaimana cahaya Tuhan menghalau kegelapan di sekeliling kita!