Pada setiap waktu subuh, seorang wanita akan bersenam dengan berjalan kaki. Ketika saya menghantar anak-anak ke sekolah, dia sudah berada di bahu jalan. Dengan dilengkapi sepasang fon kepala yang besar dan stoking berwarna-warni separas lutut, dia berjalan dengan gerakan tangan dan kaki berganti-gantian serta kaki sebelahnya selalu menginjak tanah. Jenis sukan berjalan kaki ini berbeza dengan berlari atau joging. Aktiviti Power Walking melibatkan pengekangan yang disengajakan, iaitu mengawal kecenderungan semula jadi badan untuk berlari. Walaupun sukan ini kelihatan mudah dilakukan, ia sebenarnya melibatkan banyak tenaga, tumpuan dan daya seperti berlari dan joging, cuma semuanya di bawah kawalan.

Kekuatan yang terkawal itulah kuncinya. Kerendahan hati menurut Alkitab sering dilihat sebagai kelemahan seperti Power Walking. Sebenarnya, itu tidak benar. Kerendahan hati tidak akan mengurangkan kekuatan atau kemampuan kita, melainkan dapat dikawal seperti tangan dan kaki seseorang yang melakukan Power Walking pada waktu pagi.

Kata-kata Mikha “dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah” adalah panggilan bagi kita mengawal kecenderungan kita untuk mendahului Tuhan. Dia menyuruh kita “berlaku adil, selalu mengamalkan kasih” (6:8). Dengan itu, ini akan mendatangkan keinginan untuk melakukan sesuatu serta melakukannya dengan cepat. Ini yang patut kita lakukan kerana dunia kita dipenuhi oleh ketidakadilan yang keterlaluan. Tetapi kita harus mengawal diri dan menerima pimpinan Tuhan. Tujuan hidup kita adalah melihat kehendak dan rancangan Tuhan terlaksana dengan kedatangan Pemerintahan-Nya di bumi ini.