Seorang wanita meletakkan bekas plastik yang berisi kek cawan, kad hari jadi dan pelbagai jenis keropok di kaunter pembayaran. Rambutnya yang terurai menutupi dahinya yang berkerut kerana kepenatan. Anak kecilnya mula minta didukung. Apabila juruwang menyatakan jumlah yang harus dibayar, mulut ibu itu ternganga kerana terkejut. “Oh, kelihatannya aku perlu mengembalikan beberapa barang. Tetapi semua barang ini adalah untuk parti anak aku.” Dia mengeluh sambil memandang anaknya dengan muka kecewa.

Seorang pelanggan lain yang berdiri di belakangnya memahami kekecewaan ibu itu. Keadaan ini boleh ditemukan dalam kata-kata Yesus kepada Maria yang berasal dari Betania: “Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya” (Markus 14:8). Selepas mengurapi-Nya dengan minyak wangi yang mahal sebelum kematian dan pengebumian-Nya, Maria dimarahi oleh para pengikut yang lain. Yesus menegur para pengikut-Nya dengan memuji apa yang dilakukan oleh wanita itu. Dia tidak mengatakan, “Dia telah melakukan semua yang dapat dilakukannya,” melainkan “Dia melakukan apa yang dapat dilakukannya.” Dia bukan memaksudkan minyak wangi yang mahal itu, tetapi yang lebih penting adalah tindakan Maria yang penuh kasih. Hubungan dengan Yesus menggerakkan kita melakukan sesuatu.

Pada saat itu, sebelum ibu itu sempat memberi respons, pelanggan di belakangnya itu maju ke depan dan menyelitkan kad kreditnya pada mesin untuk membayar belian ibu tersebut. Baginya, itu bukanlah perbelanjaan yang besar dan dia ada wang lebihan pada bulan itu. Tetapi bagi ibu tersebut, itulah anugerah yang besar. Satu tindakan yang penuh kasih mengalir pada saat ibu itu memerlukan bantuan.