Pada pertengahan tahun 1960-an, dua orang mengambil bahagian dalam kajian tentang kesan kegelapan ke atas jiwa manusia. Mereka memasuki gua yang berasingan, tabiat makan dan tidur mereka direkodkan. Seorang tinggal dalam kegelapan selama 88 hari manakala yang seorang lagi selama 126 hari. Masing-masing mereka meneka berapa lama mereka boleh tinggal dalam kegelapan. Salah seorang menyangka dia cuma tidur sekejap tetapi kemudian menyedari bahawa dia sudah tidur selama 30 jam. Kegelapan boleh mengakibatkan kebingungan.

Umat Tuhan mendapati diri mereka berada dalam kegelapan kerana pembuangan yang tidak berpenghujung. Mereka menunggu dan tidak pasti apa yang bakal terjadi. Nabi Yesaya menggunakan kegelapan sebagai metafora bagi kebingungan mereka dan cara untuk memperkatakan penghakiman Tuhan (Yesaya 8:22). Sebelum ini, orang Mesir ditimpa kegelapan dalam bentuk wabak (Keluaran 10:21–29). Sekarang Israel mendapati diri mereka berada dalam kegelapan.

Tetapi cahaya akan datang. “Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang. Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang” (Yesaya 9:1). Penindasan akan dihancurkan, kebingungan akan berakhir. Seorang Anak akan datang untuk mengubah semuanya dan membawa hari yang baru, iaitu hari pengampunan dan pembebasan (ayat 6).

Yesus telah datang! Meskipun kegelapan dunia ini membawa kebingungan, semoga kita mengalami penghiburan akan pengampunan, pembebasan dan cahaya yang dapat ditemukan dalam Kristus.