“Aku melarikan diri daripada-Nya sepanjang siang dan malam” merupakan pembukaan puisi terkenal bertajuk “The Hound of Heaven” (Pemburu dari Syurga) oleh penyair berbangsa Inggeris, Francis Thompson. Thompson menggambarkan bahawa Yesus tidak pernah berhenti mengejarnya walaupun dia berusaha untuk bersembunyi bahkan lari daripada Tuhan. Penyair ini akhirnya berkata, “Akulah yang Engkau cari!

Kasih Tuhan yang terus mengejar manusia merupakan tema utama dalam kitab Yunus. Tuhan mengutus Yunus untuk memberitahu orang Niniwe (musuh Israel yang kejam) bahawa mereka perlu berbalik kepada Tuhan. Akan tetapi “Yunus pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN” (Yunus 1:3). Dia menaiki sebuah kapal yang belayar ke arah yang bertentangan dengan Niniwe, tetapi kapal itu dilanda ribut dahsyat tidak lama kemudian. Bagi menyelamatkan anak-anak kapal, Yunus dibuang ke dalam laut dan ditelan oleh seekor ikan besar (1:15–17).

Dalam puisi indahnya, Yunus mengingati kembali bahawa Tuhan masih mengejarnya walaupun dia berusaha untuk melarikan diri daripada Tuhan. Semasa Yunus ditelan ke dalam perut ikan dan perlu diselamatkan, dia berseru kepada Tuhan dalam doa dan berbalik kepada kasih-Nya (2:2, 8). Tuhan menjawab doanya dan memberi keselamatan bukan hanya kepada Yunus, tetapi juga kepada musuhnya, iaitu orang Asyur (3:10).

Seperti yang dihuraikan dalam kedua-dua puisi, mungkin ada musim dalam hidup yang kita cuba lari daripada Tuhan. Yesus tetap mengasihi dan memimpin kita kembali kepada-Nya untuk memulihkan hubungan kita dengan Dia (1 Yohanes 1:9).