Caden, seorang pemuda yang berusia hampir 18 tahun, sudah menjangka bahawa dia akan dapat memasuki universiti pilihan utamanya melalui biasiswa akademik. Dia telah melibatkan diri dalam pelayanan di sekolah tingginya dan berharap untuk menyertai pelayanan yang sama dalam persekitaran yang baru. Dia menyimpan wang hasil pekerjaan sambilannya dan menjadi teladan cemerlang dalam pekerjaan barunya. Dia menetapkan beberapa sasaran hebat dan semuanya berjalan tepat mengikut jadual.
Kemudian pada musim bunga tahun 2020, sebuah krisis kesihatan global mengubah segalanya.
Universiti memaklumkan bahawa semester pertama Caden akan dijalankan dalam talian. Pelayanannya di universiti tidak dapat dijalankan. Dia kehilangan pekerjaan apabila syarikatnya menggulung tikar. Dalam keadaan putus asa, sahabatnya memberi galakan kepadanya dengan memetik kata-kata petinju terkenal: “Ya, semua orang mempunyai rancangan sehinggalah tamparan menimpa mereka.”
Amsal 16 berkata bahawa apabila kita menyerahkan semua yang kita lakukan kepada Tuhan, Dia akan menentukan rancangan dan pekerjaan kita menurut kehendak-Nya (ayat 3–4). Akan tetapi, penyerahan sepenuhnya adalah sangat sukar. Hati kita harus terbuka kepada pimpinan Tuhan serta sudi melepaskan keinginan untuk menjalani laluan kehidupan sendiri (ayat 9; 19:21).
Impian yang tidak membuahkan hasil boleh mendatangkan kekecewaan, tetapi pandangan terhad kita untuk melihat masa depan tidak dapat menandingi jalan-Nya yang telah diketahui-Nya sejak dari mula. Ketika kita berserah kepada-Nya, kita mampu menjadi yakin bahawa Dia masih menuntun setiap langkah kita dengan penuh kasih meskipun kita tidak dapat melihat jalan di hadapan (16:9).