Kereta di depan saya bersedia untuk dicuci. Pemandu itu pergi ke belakang trak pikapnya dengan sibuk menyimpan cangkuknya supaya tidak merosakkan berus berputar berkuasa tinggi semasa mesin mencuci keretanya. Dia membayar kepada pekerja lalu menghentikan kenderaannya di trek automatik. Pekerja itu menjerit kepadanya, “Gear neutral! Neutral!” tetapi tingkap kenderaannya sudah dinaikkan dan dia tidak dapat mendengarnya. Seluruh pembersihan kenderaannya hanya mengambil masa 4 saat. Akibatnya, kenderaannya sama sekali tidak dicuci pun.
Elia juga sibuk melayani Tuhan dengan cara yang ajaib. Dia mengalahkan nabi-nabi Baal dalam satu pertempuran rohani yang luar biasa dan menjadikannya penat lelah (lihat 1 Raja-Raja 18:16–39). Dia memerlukan masa untuk berehat. Tuhan membawa Elia ke Gunung Sinai yang Tuhan pernah menunjukkan diri kepada Musa lama sebelum saat itu. Sekali lagi Tuhan menggoncangkan gunung tersebut. Tetapi pada ketika itu Dia tidak berada dalam angin yang memecah bukit batu, mahupun gempa bumi atau api yang marak. Sebaliknya, Tuhan datang kepada Elia dengan bisikan lembut. “Apabila Elia mendengar suara itu, dia menutup muka dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di mulut gua itu” untuk bertemu dengan Tuhan (1 Raja-Raja 19:13).
Anda dan saya juga sibuk dalam kehidupan. Kita mengabdikan hidup kita untuk mencapai perkara-perkara besar bagi Penyelamat kita. Tetapi jika kita tidak mengambil masa untuk berehat, kita akan tersepit dalam hidup dan terlepas akan pencurahan Roh-Nya. Tuhan berfirman, “Berhentilah berperang, ketahuilah bahawa Aku ini Allah” (Mazmur 46:11). Janganlah lupa “pasangkan gear neutral” (berehat)!