Keempat-empat pastor tentera tersebut tidak digelar sebagai “wira”. Tetapi pada suatu malam yang amat dingin dalam bulan Februari 1943, ketika kapal pengangkut mereka, iaitu SS Dorchester ditembak torpedo di pesisir pantai Greenland semasa Perang Dunia ke-2, mereka berusaha sedaya upaya untuk menenangkan ratusan tentera yang panik. Sementara kapal mereka sedang tenggelam dan orang yang tercedera melompat ke laut untuk menuju ke bot penyelamat yang sudah penuh, 4 pastor itu menenangkan keriuhan dengan “mengkhutbahkan kata-kata semangat”, ujar salah seorang tentera yang terselamat.
Sewaktu kehabisan jaket keselamatan, para pastor itu menanggalkan jaket mereka dan memberikannya kepada lelaki yang sedang ketakutan. Mereka sudah bertekad untuk tenggelam bersama kapal supaya orang lain boleh diselamatkan. Menurut salah seorang yang terselamat, “Itu adalah perkara yang paling indah yang pernah saya lihat.”
Semasa kapal mula tenggelam, mereka berpegangan tangan dan berdoa dengan suara kuat untuk memberi dorongan kepada orang lain yang turut tenggelam bersama mereka.
Keberanian menandai kisah mereka. Bagaimanapun, kasih mendefinisikan pengorbanan mereka berempat. Paulus mendorong supaya kasih sedemikian ada pada setiap orang percaya termasuk jemaah di Korintus yang terumbang-ambing. Dalam keadaan dikelilingi konflik, rasuah dan dosa, Paulus mendorong mereka supaya “waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan” (1 Korintus 16:13). Kemudian dia menambah, “Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih” (ayat 14).
Itu merupakan perintah terunggul bagi setiap orang yang percaya kepada Yesus terutamanya ketika menghadapi krisis. Pada saat pergolakan melanda hidup kita, respons kita yang paling berani untuk mencerminkan Kristus adalah menunjukkan kasih-Nya kepada orang lain.