Dengan cahaya matahari dan air yang mencukupi, bunga liar membentang luas dengan indahnya di kawasan-kawasan California, seperti Lembah Antelope dan Pergunungan Figueroa. Tetapi apakah yang berlaku ketika kemarau melanda? Para saintis telah menemukan bahawa bunga-bunga liar tertentu menyimpan kuantiti benih yang banyak di bawah tanah dan tidak membiarkannya keluar ke permukaan tanah. Selepas musim kemarau, tumbuhan tersebut menggunakan benih yang telah disimpan untuk bertumbuh semula.

Jumlah umat Israel pada zaman dahulu bertambah di tanah Mesir meskipun mengalami keadaan yang teruk. Ketua hamba abdi memaksa mereka bekerja di ladang dan membuat bata. Pengerah abdi yang tidak berhati perut menyuruh mereka membina keseluruhan kota bagi Firaun. Bahkan, raja Mesir cuba membunuh bayi-bayi bangsa Israel untuk mengurangkan bilangan mereka. Akan tetapi atas pertolongan Tuhan, “semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka” (Keluaran 1:12). Banyak pakar Alkitab menganggarkan bahawa populasi orang Israel iaitu lelaki, perempuan dan kanak-kanak bertambah kepada 2 juta (atau lebih) ketika mereka di Mesir.

Tuhan yang telah memelihara umat-Nya yang dahulu, juga menolong kita pada hari ini. Dia mampu menolong kita dalam apa pun keadaan. Mungkin kita berasa khuatir dengan hal-hal di hadapan kita, tetapi Alkitab memberi keyakinan bahawa Tuhan yang “menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur,” mampu menyediakan keperluan kita (Matius 6:30).