Semasa mendaki gunung, Adrian diselubungi oleh awan yang berkedudukan rendah. Dengan cahaya matahari di belakangnya, Adrian memandang ke bawah dan bukan hanya melihat bayang-bayangnya, malahan juga pemandangan mengagumkan yang dikenali sebagai Fenomena Brocken. Fenomena ini menyerupai lingkaran pelangi yang mengelilingi bayang-bayang orang. Ia berlaku ketika cahaya matahari memantulkan semula awan di bawah. Adrian menggambarkan saat itu sebagai detik “ajaib” yang sangat menggembirakannya.

Kita dapat membayangkan pemandangan pelangi tersebut yang betapa mempesonakan bagi Nuh yang melihatnya pertama kali. Pemandangan ini bukan sekadar satu kenikmatan, malahan cahaya yang dibiaskan dan warna yang dihasilkan itu diberikan dengan janji Tuhan. Setelah banjir dahsyat yang membinasakan, Tuhan berjanji kepada Nuh dan semua “makhluk hidup” bahawa, “banjir tidak lagi akan membinasakan semua makhluk hidup” (Kejadian 9:15).

Bumi kita masih mengalami banjir dan bencana cuaca lain yang menakutkan dan mengakibatkan kehilangan tragis, tetapi pelangi adalah janji bahawa Tuhan tidak akan lagi menghukum bumi ini dengan banjir. Janji akan kesetiaan-Nya dapat mengingatkan kita bahawa meskipun kita secara individu akan mengalami kehilangan dan kematian secara fizikal sama ada disebabkan oleh penyakit, bencana alam, kesalahan atau usia lanjut, tetapi Tuhan menguatkan kita dengan kasih dan hadirat-Nya sepanjang kesukaran yang kita hadapi. Cahaya matahari yang memantulkan warna melalui air adalah peringatan akan kesetiaan-Nya untuk memenuhi bumi ini dengan orang yang memiliki imej-Nya dan mencerminkan kemuliaan-Nya kepada orang lain.