Helen Roseveare, seorang doktor wanita berbangsa Inggeris berkhidmat sebagai misionari di Congo Afrika, ditawan oleh pemberontak semasa Pemberontakan Simba pada tahun 1964. Dia dipukul, didera dan menderita dengan teruk. Pada hari-hari seterusnya, dia bertanya kepada dirinya, “Adakah ini berbaloi?”
Ketika dia mula merenungkan harga untuk mengikut Yesus, dia merasakan Tuhan berfirman kepadanya tentang hal itu. Beberapa tahun kemudian, dia menjelaskan kepada seorang penemu ramah, “Ketika dia mengimbas saat-saat pemberontakan yang mengerikan dan kelihatannya pengorbanan ini adalah terlalu tinggi untuk ditanggung, Tuhan seakan-akan berkata kepada saya, ‘Ubahlah pertanyaan itu. Bukan, ‘Adakah ini berbaloi?’ tetapi ‘Adakah Aku layak?’ ” Dr. Roseveare menyimpulkan bahawa di sebalik keperitan yang dialaminya, “Jawapannya ialah ‘Ya, Dia layak.’ ”
Melalui anugerah Tuhan yang bekerja dalam dirinya selama penderitaan yang menyakitkan itu, Helen Roseveare memutuskan bahawa Penyelamat yang telah menderita bahkan mati baginya adalah berbaloi untuk diikuti tidak kira apa pun yang dihadapinya. Kata-katanya “Dia layak” menggemakan seruan orang yang mengelilingi takhta Yesus dalam kitab Wahyu: “Mereka menyanyi dengan suara yang lantang, ‘Anak Domba yang sudah dibunuh itu layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan pujian’ ” (5:12).
Penyelamat kita menderita dan mencurahkan darah serta mati untuk kita. Dia mengorbankan diri-Nya sepenuhnya supaya kita dapat menerima harapan dan kehidupan kekal secara percuma. Pengorbanan penuh-Nya layak menerima seluruh persembahan hidup kita. Dia layak!