Bagi Christopher, seorang bekas askar kurang upaya, aktiviti hariannya menjadi lebih mencabar, mengambil masa yang lama untuk disiapkan, dan menambahkan kesakitannya. Tetapi dia berusaha untuk menjaga isteri dan anaknya. Setiap minggu, orang yang lalu akan melihatnya memotong rumput dengan menggunakan mesin rumput tolak.
Suatu hari, Christopher menerima sepucuk surat dan sebuah mesin pemotong rumput kereta yang mahal daripada penderma tanpa nama. Menolong orang yang memerlukan bantuan membawa kepuasan kepada penderma rahsia itu.
Yesus tidak mengatakan bahawa semua pemberian kita harus dilakukan secara tersembunyi, tetapi Dia mengingatkan kita untuk memeriksa motif kita ketika memberi (Matius 6:1). Dia juga berkata: “Oleh itu, apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan perbuatan itu seperti yang dilakukan oleh orang munafik di dalam rumah ibadat dan di jalan raya. Mereka melakukan perkara itu supaya dipuji orang” (ayat 2). Tuhan bukan hanya mengharapkan kita menjadi pemberi dengan tangan terbuka, tetapi juga mendorong kita mengelakkan daripada melakukan perbuatan baik di hadapan orang lain semata-mata untuk menerima penghargaan atau pahala tertentu (ayat 3).
Ketika kita menyedari bahawa semua yang kita miliki datang daripada Tuhan, kita dapat menjadi pemberi rahsia yang tidak mengharapkan pujian daripada orang lain. Tuhan Yang Maha Tahu dan Pemberi segala yang baik, berkenan dalam kemurahan sejati umat-Nya. Tiada yang dapat menandingi pahala yang diberi-Nya, iaitu perkenan-Nya.