Pada awal Perang Revolusi Amerika, ekspedisi dilancarkan untuk menentang pasukan tentera Inggeris di Quebec. Ketika ekspedisi itu melalui Newburyport, Massachusetts, dalam perjalanan ke Kanada, mereka menziarahi kubur penginjil terkenal, George Whitefield. Mereka mendapati bahawa keranda Whitefield dibuka dengan paksa, malah kolar pakaian paderi serta lengan baju ditanggalkan. Kain-kain itu dipotong-potong menjadi cebisan lalu dibahagi-bahagikan kerana kepercayaan karut bahawa ia dapat membawa kemenangan kepada para askar.
Ekspedisi tersebut gagal. Akan tetapi, apa yang dilakukan oleh askar-askar itu menunjukkan kecenderungan manusia untuk mempercayai sesuatu yang bukan kehendak Tuhan seperti wang atau kekuatan manusia, bahkan tradisi keagamaan—demi membawa manfaat. Tuhan memberikan amaran kepada umat-Nya tentang hal ini ketika mereka diancam oleh pencerobohan tentera Asyur. Sedihnya, umat Israel masih mencari bantuan daripada Firaun Mesir. Mereka sepatutnya berpaling daripada dosa mereka dan kembali kepada Tuhan. “TUHAN Raja, Allah Israel, Allah yang suci, berfirman kepada umat-Nya, ‘Kembalilah kepada-Ku dan percayalah kepada-Ku dengan hati yang tenteram. Maka kamu akan Kukuatkan dan Kuselamatkan.’ Tetapi kamu tidak mahu. Sebaliknya kamu merancang untuk lari daripada musuh dengan menunggang kuda yang laju. Memang kamu perlu lari!” (Yesaya 30:15-16).
“Ekspedisi” mereka juga gagal (seperti yang difirmankan Tuhan sebelum ini) dan akhirnya Asyur mengalahkan Yehuda. Bagaimanapun, Tuhan juga berfirman kepada umat-Nya, “Tuhan menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu.” Walaupun kita mempercayai sesuatu yang tidak sebesar Tuhan, Dia masih menghulurkan tangan-Nya untuk membantu kita kembali kepada-Nya. “Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN!” (AYAT 18).