Dua orang kanak-kanak menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” dengan riang—masing-masing sebanyak dua kali—sambil membasuh tangan mereka di singki. “Inilah masa yang diperlukan untuk membuang kuman,” kata ibu mereka. Sebelum pandemik COVID-19, mereka telah belajar mengambil masa untuk membersihkan kotoran daripada tangan mereka.

Menjaga kebersihan boleh menjadi satu proses yang meletihkan, seperti yang kita ketahui sepanjang tempoh pandemic ini. Namun, membuang dosa bermakna memfokuskan langkah-langkah kita untuk kembali kepada Tuhan.

Yakobus menggesa orang yang percaya kepada Yesus dan berselerak di seluruh Empayar Roma agar memfokuskan diri mereka kepada Tuhan semula. Orang percaya telah menjadi musuh Tuhan kerana mereka asyik bertelagah dan bergaduh selain bermegah tentang diri, mengejar harta benda, keseronokan duniawi, wang serta pengiktirafan. Dia mengingatkan mereka, “Oleh itu, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu. Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu. Basuhlah tangan kamu, hai kamu yang berdosa! Sucikanlah hati kamu, hai kamu yang munafik!” (Yakobus 4:7-8). Tetapi apakah caranya?

“Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu” (AYAT 8). Inilah kata-kata penyuci yang menerangkan kita perlu kembali semula kepada Tuhan untuk membasuh kotoran dosa daripada kehidupan kita. Yakobus kemudian menerangkan cara pembasuhan dengan lebih lanjut: “Hendaklah kamu menyesal, menangis dan meratap! Hendaklah ketawa kamu menjadi tangisan dan kegembiraan kamu menjadi kedukaan! Hendaklah kamu merendahkan diri di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikan kamu” (AYAT 9-10).

Menangani dosa kita menjadikan kita merendah diri. Akan tetapi, haleluya! Pujilah Tuhan kerana Dia setia mengubah “pembersihan” kita kepada penyembahan.