Dalam karya cerpen Leo Tolstoy, Family Happiness (Rumah Tangga yang Bahagia), watak-watak utamanya iaitu Sergey dan Masha, bertemu ketika Masha masih muda dan mudah terpengaruh. Sergey pula seorang yang lebih tua dan merupakan seorang peniaga yang selalu berpergian, mengetahui dunia luar berbanding dengan Masha yang duduk di kawasan terpencil. Masa berlalu, kedua-duanya jatuh cinta dan berkahwin.

Mereka tinggal di kawasan desa, namun Masha menjadi bosan terhadap persekitarannya. Sergey, yang mengasihinya pun mengaturkan satu perjalanan ke St. Petersburg. Di sana, Masha menjadi terkenal kerana kecantikan dan daya tarikannya. Ketika pasangan suami isteri itu berangkat untuk pulang, seorang putera menziarahi bandar itu dan hendak berjumpa dengan Masha. Sergey tahu dirinya dapat memaksa Masha beredar bersamanya, namun dia membenarkan Masha membuat keputusan. Akhirnya Masha memilih untuk tetap tinggal di St. Petersburg, dan pengkhianatannya telah menghancurkan hati Sergey.

Seperti Sergey, Tuhan tidak pernah memaksa kita setia kepada-Nya. Ini kerana Dia mengasihi kita, maka Dia membenarkan kita membuat keputusan sama ada bersama dengan Dia atau melawan-Nya. Pilihan pertama kita telah dibuat ketika kita menerima Anak-Nya, Yesus Kristus, sebagai korban bagi dosa kita (1 Yohanes 4:9–10). Seterusnya, kita perlu membuat keputusan untuk sepanjang hidup.

Adakah kita akan memilih untuk setia kepada Tuhan dan berserah kepada bimbingan Roh Tuhan, ataupun tergoda oleh dunia ini? Kehidupan Daud tidak sempurna, namun dia sering menuliskan tentang “mematuhi Taurat Tuhan”, dan manfaat yang menyusulinya (Mazmur 18:22–25). Apabila pilihan-pilihan kita memuliakan Tuhan, kita akan mengalami berkat rahmat Tuhan yang dituliskan oleh Daud: Tuhan setia kepada orang yang setia kepada-Nya.