Alice Kaholusuna menceritakan bahawa orang Hawaii akan duduk lama di luar tokong dan membuat persiapan lama sebelum memasuki tokong. Walaupun sudah berada di dalam tokong, mereka akan merangkak ke arah mazbah untuk berdoa. Selepas itu, mereka akan duduk semula di luar tokong dengan lama untuk “menghembuskan nafas hidup” ke dalam doa-doa mereka. Ketika para mubaligh datang ke pulau itu, orang Hawaii menganggap cara doa mereka itu ganjil. Ini kerana para mubaligh akan berdiri, mengucapkan beberapa ayat, yang dikenali sebagai “doa,” mengatakan amin, dan doa itu pun selesai. Orang Hawaii mengatakan bahawa doa-doa sebegini adalah “tiada nafas.”

Cerita Alice menyatakan umat Tuhan mungkin sering kali tidak mengambil peluang untuk “Diamlah, dan ketahuilah” (Mazmur 46:10, AVB). Janganlah salah anggap—Tuhan mendengar doa kita, sama ada doa itu panjang atau pendek. Namun langkah hidup kita sering mengikuti langkah hati kita, dan kita perlu meluangkan masa yang cukup supaya firman Tuhan bukan sahaja kedengaran dalam hidup kita, tetapi juga orang di sekitar kita. Betapa kerapnya kita terlepas saat-saat Tuhan berbicara kepada kita, mengucapkan amin dengan tergesa-gesa dan menganggap kita sudah siap berdoa?

Kita sering kali kurang bersabar terhadap semua perkara, misalnya pemandu yang perlahan dan kesesakan lalu lintas. Namun, saya percaya kepada kebaikan Tuhan yang telah berfirman, “Tenanglah. Tarik dan hembuslah nafas. Perlahankan segala-galanya, dan ingatlah bahawa Akulah Tuhanmu, perlindungan dan kekuatanmu, sentiasa hadir untuk membantu pada masa kesukaran.” Untuk melakukannya, kita harus tahu Tuhan ialah Tuhan, mempercayai Dia dan hidup untuk Dia.