Joni Eareckson Tada menjadi lumpuh dari bahu ke bawah akibat kemalangan semasa berenang. Ketika dia pulang ke rumah setelah menerima rawatan, hidupnya menjadi sangat berbeza. Kini pintu terlalu sempit bagi kerusi rodanya dan singki terlalu tinggi baginya. Seseorang harus memberinya makan sehingga dia memutuskan untuk belajar semula cara menyuap makanan sendiri. Semasa mengangkat sudu khas ke mulutnya dengan menggunakan penyangga lengan buat kali pertama, dia berasa dirinya terhina kerana sos epal tertumpah ke atas pakaiannya. Tetapi dia terus berusaha. Dia berkata, “Rahsia saya adalah belajar untuk bersandar kepada Yesus dan berkata, ‘Ya Tuhan, tolonglah aku!’ ” Hari ini, dia dapat menggunakan sudu dengan baik.

Joni mengatakan bahawa kelumpuhan itu telah membuka matanya untuk melihat seorang tawanan yang lain, iaitu rasul Paulus yang dipenjarakan di Roma dan surat-suratnya kepada jemaah di Filipi. Joni berusaha untuk mengikut teladan Paulus: “Aku sudah belajar berpuas hati walaupun aku hanya memiliki sedikit” (Filipi 4:11). Perhatikan bahawa Paulus harus belajar untuk hidup berdamai; kerana dia tidak memiliki kedamaian sebelumnya. Bagaimanakah dia mendapat kepuasan? Dengan mempercayai Kristus: “Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan” (ayat 13).

Setiap kita menghadapi pelbagai cabaran sepanjang hari dan kita dapat memandang Yesus setiap saat untuk memohon pertolongan, kekuatan dan kedamaian-Nya. Dia akan menolong kita mengelakkan daripada menghina orang yang kita sayangi; Dia akan terus memberi kita keberanian untuk menghadapi kesukaran. Pandanglah kepada Tuhan dan carilah kepuasan dalam Dia.