Saya meletakkan Alkitab saya di atas mimbar dan menatap wajah-wajah yang menanti-nantikan saya untuk berkhutbah. Saya telah berdoa dan membuat persediaan. Mengapakah saya tidak dapat membuka mulut?

Kamu orang tak guna. Tiada sesiapa akan mendengar katamu, apatah lagi apabila mereka tahu masa lampau kamu. Tuhan tidak mungkin akan memakai kamu. Kata-kata ini telah lama terukir dalam hati dan minda saya, terdengar melalui pelbagai cara dalam hidup saya. Ini menyebabkan saya menghadapi pergelutan dengan dusta ini selama 10 tahun kerana saya cenderung mempercayainya. Walaupun saya tahu bahawa kata-kata tersebut tidak benar, saya seolah-olah tidak dapat melepaskan diri daripada perasaan tidak yakin dan ketakutan. Jadi, saya membuka Alkitab saya.

Apabila saya membuka Amsal 30:5 (AVB), saya menarik dan menghembuskan nafas perlahan-lahan sebelum membaca dengan lantang. “Semua firman Allah teruji. Dia perisai bagi mereka yang berlindung kepada-Nya,” baca saya. Saya menutup mata sementara damai sejahtera menyelubungi saya, dan saya mula berkongsi kesaksian saya kepada para hadirin.

Kebanyakan kita pernah mengalami pengaruh yang melumpuhkan kita akibat daripada kata-kata atau pendapat negatif orang lain. Bagaimanapun, firman Tuhan adalah “teruji”, sempurna dan benar belaka. Apabila kita tergoda untuk mempercayai idea-idea yang mematahkan semangat kita tentang nilai dan tujuan kita sebagai anak Tuhan, kebenaran Tuhan yang kekal dan tidak dapat disangkal akan melindungi minda dan hati kita. Kita boleh mengumandangkan apa yang ditulis oleh pemazmur: “Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN” (Mazmur 119:52).

Marilah kita melawan dusta-dusta yang telah kita percaya tentang Tuhan, diri kita sendiri dan orang lain, menggantikan kata-kata negatif itu dengan menggunakan kata-kata Tuhan.