Setelah bertahun-tahun cuba mendapatkan anak, Richard dan Susan gembira sekali apabila Susan hamil. Namun masalah kesihatannya telah menimbulkan risiko kepada kandungannya. Oleh itu, Richard berjaga setiap malam untuk mendoakan isteri dan anaknya. Suatu malam, Richard merasakan dia tidak perlu begitu kuat berdoa, kerana Tuhan telah berjanji bahawa Dia akan menjaga kesemuanya. Bagaimanapun, seminggu kemudian Susan mengalami keguguran. Hati Richard hancur luluh. Dia tertanya-tanya, adakah mereka kehilangan bayi kerana dia tidak berdoa dengan secukupnya?
Apabila kita membaca perumpamaan dalam Lukas 11:5-8 untuk kali pertama, kita mungkin berfikir sedemikian. Dalam cerita itu, seorang sahabat (kadang-kadang dianggap mewakili Tuhan) hanya turun dari katil untuk menolong kawan kerana permintaan berterusan yang mendesak (Lukas 11:5-8). Kalaulah bahagian ini dibaca begitu, perumpamaan ini bagaikan mencadangkan bahawa Tuhan akan memberi kita apa yang kita perlu asalkan kita memaksa-maksa Dia. Jika kita tidak berdoa dengan secukupnya, mungkin Tuhan tidak akan membantu kita.
Akan tetapi, pengulas Alkitab seperti Klyne Snodgrass percaya bahawa perumpamaan ini disalahtafsirkan dengan pemahaman tersebut—maksud sebenarnya adalah jika sahabat kita mungkin membantu kita atas alasan kepentingan diri, lebih-lebih lagi Bapa kita yang tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu, kita boleh meminta dengan yakin (AYAT 9-10), kerana Tuhan adalah lebih mulia daripada manusia yang tidak sempurna (AYAT 11-13). Dia sama sekali berbeza dengan sahabat dalam perumpamaan itu.
“Saya tidak tahu mengapa kamu kehilangan bayi kamu,” saya memberitahu Richard, “tetapi saya tahu ini bukan kerana kamu tidak ‘cukup’ berdoa. Tuhan bukannya begitu.”