Beberapa tahun yang lalu, saya telah memohon satu jawatan di sebuah organisasi Kristian dan setelah itu, saya diberikan satu senarai peraturan legalistik yang berkaitan dengan penggunaan alkohol, tembakau dan beberapa jenis hiburan yang tertentu. “Kami harap kakitangan kami berkelakuan seperti seorang Kristian,” begitulah penjelasan mereka. Saya menyetujui senarai ini kerana saya sendiri tidak melakukan perkara-perkara tersebut, atas sebab-sebab yang tidak berkaitan dengan iman saya sekalipun. Namun, beberapa soalan terlintas dalam minda saya. Mengapakah tidak menyediakan senarai yang mengingatkan kita supaya tidak menjadi sombong, mempedulikan perasaan orang, tidak kasar, mengutamakan hal-hal kerohanian, dan tidak sentiasa cari salah? Tidak ada satu pun sifat tersebut tersenarai.
Mengikut Yesus tidak boleh didefinisikan dengan mengikut satu senarai peraturan. Kualiti hidup yang murni ini sukar diukur tetapi sesungguhnya dapat digambarkan sebagai “indah”.
Kebahagiaan yang Sejati dalam Matius 5:3-10 merumuskan keindahan tersebut: Mereka yang didiami oleh Roh Tuhan dan bergantung pada-Nya mempunyai kerendahan hati dan tidak suka menonjolkan diri. Mereka berasa sangat empati terhadap penderitaan orang lain. Mereka lemah lembut dan baik hati. Mereka rindu supaya diri mereka dan orang lain memiliki kebaikan hati. Mereka berbelas kasihan terhadap orang yang sedang bergelut dan mengalami kegagalan. Mereka mengasihi Yesus dengan sepenuh jiwa raga. Mereka cinta akan kedamaian dan mewariskan kedamaian. Mereka baik hati terhadap orang lain yang memperlakukan mereka dengan buruk, dan membalas kejahatan dengan kebaikan. Mereka pun akan mengalami kebahagiaan, satu perkataan yang bererti “kegembiraan” dengan maksud yang terdalam.
Kehidupan sebegini menarik perhatian orang lain. Ini akan menjadi milik mereka yang datang kepada Yesus serta memohon kehidupan sedemikian daripada-Nya.