Saya sebenarnya kurang meminati bunga tulip. Namun, inilah hadiah daripada anak perempuan bongsu saya, yang dibawa balik bersamanya ke Amerika Syarikat dari Amsterdam sewaktu dia berkunjung ke sana. Jadi saya pun menerima sahaja hadiah tersebut dengan penuh gembira sepertimana saya teruja bertemu semula dengan anak saya. Namun demikian, bunga tulip tetap bukan bunga kegemaran saya. Kebanyakan bunga tersebut akan berbunga awal tetapi akan layu dengan cepat. Selain itu, cuaca panas pada bulan Julai pula tidak sesuai untuk menanamnya.

Bagaimanapun, akhirnya pada lewat September, saya menanam bunga “anak perempuan” saya—sambil memikirkannya dan memelihara tanaman itu dengan penuh kasih. Semakin saya menggemburkan tanah yang berbatu itu, semakin saya mengambil berat tentang bunga itu. Selepas menepuk-nepuk tanah di bawah bunga itu untuk kali terakhir, saya memberkatinya dengan berkata, “tidurlah nyenyak,” dengan harapan untuk melihat bunga tulip mekar pada musim bunga.

Projek kecil saya ini menjadi peringatan tentang panggilan Tuhan kepada kita untuk mengasihi satu sama lain, walaupun kita bukanlah “orang kegemaran” antara satu sama lain. Dengan memaafkan ketidaksempurnaan kita yang berupa seperti ‘lalang’, kita dimampukan oleh Tuhan untuk mengasihi orang lain, sekalipun pada musim kita berasa berang. Kemudian, dengan peredaran masa, perasaan saling mengasihi akan mekar. Dengan demikian Yesus berkata, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku” (AYAT 35). Selepas dipangkas oleh-Nya, kita kemudian diberkati untuk mekar, seperti apa yang berlaku dengan tulip saya pada musim bunga berikutnya—pada hujung minggu yang sama anak perempuan saya balik untuk kunjungan yang singkat. “Lihatlah apa yang mekar!” kata saya. Demikian juga dengan hidup saya.