Apabila Marcia berada di khalayak ramai, dia sentiasa cuba mengukir senyuman kepada orang lain. Itulah cara dia berinteraksi dengan orang yang mungkin perlu melihat riak wajah yang ramah. Selalunya, dia dibalas dengan senyuman yang ikhlas. Namun, pada suatu masa ketika Marcia diwajibkan untuk memakai pelitup muka, dia menyedari bahawa orang lain tidak akan dapat melihat mulutnya lagi, jadi tidak ada sesiapa dapat melihat senyumannya. Alangkah sedihnya, dia berfikir, tetapi saya tidak akan berhenti. Mungkin mereka akan melihat senyuman saya melalui mata saya.

Sebenarnya ada sedikit fakta sains di sebalik idea tersebut. Otot-otot pada hujung mulut dan otot yang membuat kedutan pada mata boleh bergerak secara serentak. Inilah yang dipanggil senyuman “Duchenne” dan digambarkan sebagai “senyuman dengan mata”.

Amsal mengingatkan kita bahawa “mata yang bercahaya menyukakan hati” dan “hati yang gembira adalah ubat yang baik” (15:30, 17:22 AVB). Sering kali, senyuman anak-anak Tuhan terhasil daripada kegembiraan luar biasa yang kita miliki. Inilah satu anugerah daripada Tuhan yang sentiasa melimpah ke dalam kehidupan kita, apabila kita mendorong mereka yang memikul beban berat atau berkongsi dengan mereka yang masih mencari jawapan bagi persoalan hidup. Walaupun kita mengalami penderitaan, kita masih dapat memancarkan kegembiraan.

Apabila hidup kelihatan gelap, pilihlah kegembiraan. Biarlah senyuman anda menjadi jendela harapan yang memancarkan kasih-Nya dan cahaya hadirat-Nya dalam hidup anda.