Pada tahun 2020, Alyssa Mendoza menerima satu e-mel yang mengejutkan daripada bapanya pada suatu tengah malam. Mesej tersebut mengandungi arahan tentang apa yang harus dilakukan untuk ibunya pada hari ulang tahun perkahwinan ibu bapanya yang ke-25. Mengapakah ini memeranjatkan? Ini kerana bapa Alyssa telah meninggal dunia 10 bulan yang lalu. Dia mendapati bahawa bapanya telah menulis dan menjadualkan penghantaran e-mel tersebut ketika dia tengah sakit, kerana dia tahu dia mungkin akan meninggal. Dia juga telah mengatur dan menempah bungkusan kuntuman bunga untuk dihantar kepada isterinya pada tahun-tahun yang akan mendatang bagi hari jadinya, hari ulang tahun perkahwinan dan Hari Valentine.

Cerita ini boleh menjadi teladan bagi cinta yang dijelaskan dengan terperinci dalam Kidung Agung. “Kerana cinta itu sekuat maut, dan nafsu berkuasa seperti kematian” (8:6). Kelihatannya ganjil untuk membandingkan maut dengan cinta, tetapi kedua-duanya adalah kuat kerana tidak akan melepaskan “tawanannya.” Begitulah cinta sejati sama sekali tidak akan melepaskan buah hati. Kitab tersebut mencapai kemuncaknya dalam ayat 6-7 dengan menjelaskan cinta perkahwinan sebagai sesuatu yang begitu kuat sehingga “air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta” (AYAT 7).

Dalam keseluruhan Alkitab, cinta antara suami dan isteri dibandingkan dengan kasih Tuhan (Yesaya 54:5; Efesus 5:25, Wahyu 21:2). Yesus ialah pengantin lelaki dan jemaah ialah pengantin perempuan-Nya. Tuhan menunjukkan kasih kepada kita dengan menghantar Kristus untuk menghadapi kematian supaya kita tidak perlu mati untuk dosa kita (Yohanes 3:16). Tidak kira kita sudah berkeluarga atau masih bujang, kita harus ingat bahawa kasih Tuhan adalah lebih kuat daripada segala-gala yang kita dapat bayangkan.