Filem The Blind Side yang diterbitkan pada tahun 2009 menggambarkan kisah benar Michael Oher, seorang remaja yang kehilangan tempat tinggal. Sebuah keluarga mengambilnya dan membantu dia mengatasi kesukaran dalam pembelajaran. Dia berjaya dengan cemerlang dalam permainan bola sepak Amerika. Dalam satu adegan, keluarga itu berbincang dengan Michael mengenai niat mereka untuk mengambilnya sebagai anak angkat setelah beberapa bulan tinggal bersama dengan mereka. Dengan suara yang manis dan lembut, Michael menjawab bahawa dia menyangka dia sudah menjadi anggota keluarga itu!
Inilah saat yang indah, kerana mengambil anak angkat adalah perkara yang begitu indah. Kasih disalurkan dan penerimaan penuh ditawarkan ketika sebuah keluarga membuka tangan mereka untuk menyambut ahli keluarga baru. Pengambilan anak angkat dapat mengubah kehidupan seseorang, sebagaimana ia telah mengubah hidup Michael secara mendalam.
Dalam Yesus, orang percaya menjadi “anak-anak Tuhan” melalui iman kepada-Nya (Galatia 3:26). Kita diangkat sebagai anak-anak-Nya dan menjadi anak-anak lelaki dan perempuan-Nya (Galatia 4:5). Sebagai anak angkat Tuhan, kita menerima Roh Anak-Nya dan memanggil Tuhan sebagai “Bapa” (ayat 6). Kita menjadi waris-Nya (ayat 7) dan menerima janji-janji Tuhan bersama dengan Kristus (Roma 8:17). Kita betul-betul menjadi anggota keluarga-Nya.
Ketika Michael Oher diambil sebagai anak angkat, hal ini mengubah hidup, identiti dan masa depannya. Apatah lagi kita yang diangkat menjadi anak-anak Tuhan! Hidup kita berubah apabila kita mengenal Dia sebagai Bapa. Identiti kita berubah ketika kita menjadi milik-Nya. Masa depan kita berubah kerana kita dijanjikan kehidupan kekal dan mulia.