Kami menggelar diri kami sebagai “saudari dalam Kristus,” tetapi saya dan kawan kulit putih saya berkelakuan seperti musuh. Semasa bersarapan di sebuah kafe pada suatu pagi, kami bertengkar disebabkan perbezaan pendapat tentang isu perkauman. Kemudian kami berpisah, dan saya berjanji tidak mahu berjumpa dengannya lagi. Tetapi setahun kemudian, kami diambil bekerja dalam pelayanan yang sama. Kami bertugas di pejabat yang sama dan tidak dapat mengelakkan satu sama lain. Pada mulanya kami berasa canggung dan menyebut tentang konflik yang pernah berlaku antara kami. Kemudian lama-kelamaan, Tuhan menolong kami untuk saling mengampuni dan berdamai serta memberikan pelayanan yang sebaiknya.
Tuhan juga menyembuhkan perselisihan pahit yang berlaku antara Esau dan saudara kembarnya, Yakub dan memberkati kehidupan mereka. Yakub pernah membuat rancangan jahat dengan merampas berkat ayah mereka daripada Esau. Tetapi 20 tahun kemudian, Tuhan memanggil Yakub kembali ke kampung halamannya. Oleh itu, Yakub mengirimkan hadiah yang banyak untuk melembutkan hati Esau. “Tetapi Esau berlari mendapatkan Yakub, lalu memeluk dan mencium dia. Kedua-dua mereka bertangis-tangisan” (Kejadian 33:4).
Pertemuan yang menyatukan mereka semula menjadi contoh klasik, bahawa Tuhan menggesa kita mengatasi kemarahan kita terhadap orang percaya lain sebelum kita mempersembahkan pemberian seperti kurnia atau harta kita kepada-Nya dengan perintah ini, “pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah” (Matius 5:23-24). Yakub mentaati Tuhan dan berdamai dengan Esau, kemudian mendirikan mazbah untuk Tuhan (Kejadian 33:20). Inilah susunan yang begitu indah: Perkara utama yang patut kita lakukan adalah berusaha untuk memberi pengampunan dan berdamai dengan orang. Kemudian, di mazbah-Nya, Dia pasti berkenan kepada kita.