Sudah masanya untuk mengubah suai rumah kami. Tetapi ketika saya mula bersedia untuk mengecat sebuah bilik, kerajaan negeri kami mengumumkan penghentian penjualan barang-barang pembaikan rumah disebabkan oleh pandemik COVID-19. Sebaik sahaja mendengar pengumuman tersebut, saya bergegas ke kedai dan membeli bahan-bahan yang diperlukan. Kerja mengubahsuai tanpa bahan dan peralatan yang betul memang tidak dapat dilakukan.

Semasa Paulus menulis Efesus 4, pasti ada terlintas sedikit di fikirannya mengenai sesuatu projek “pengubahsuaian”. Namun perubahan yang dikatakannya itu memang jauh melampaui perubahan secara luaran. Walaupun mempercayai Yesus sebagai Penyelamat menjadikan kita ciptaan baru, kita masih memerlukan Roh Kudus bekerja secara berterusan dalam hidup kita. Ini memerlukan masa dan pekerjaan Roh Kudus agar kita “mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci” (Efesus 4:24).

Hadirat Roh Kudus dalam diri kita akan membawa perubahan dalaman agar membantu kita mencerminkan Yesus melalui perkataan dan tindakan. Dia menolong kita menggantikan dusta dengan bercakap “benar” (ayat 25). Dia membimbing kita menghindari dosa kerana kemarahan (ayat 26). Dia juga mengarahkan kita mengucapkan kata-kata yang “mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya” (ayat 29). Tindakan yang terhasil oleh Roh Kudus merupakan sebahagian perubahan dalaman yang ditunjukkan seperti baik hati, berbelas kasihan dan saling mengampuni (ayat 32). Roh bekerja dalam diri kita untuk membolehkan kita mengikut teladan Yesus dan mencerminkan hati Bapa Syurgawi (ayat 24; 5:1).