Ketika Colin membuka kotak kepingan kaca berwarna yang dibelinya, dia sepatutnya menerima serpihan-serpihan kaca untuk sebuah projek, sebaliknya dia mendapat beberapa keping tingkap kaca berwarna yang lengkap. Dia mengkaji latar belakang tingkap tersebut dan mendapati bahawa ia ditanggalkan dari sebuah gereja untuk melindunginya daripada pengeboman sewaktu Perang Dunia II. Colin kagum dengan kualiti kerja dan “serpihan-serpihan” pada daun tingkap itu membentuk sebuah gambar yang indah.

Secara jujur, ada kalanya saya membuka petikan Alkitab tertentu seperti fasal-fasal yang mengandungi salasilah, dan langsung tidak faham bagaimana ia sejajar dengan gambaran Alkitab secara keseluruhan. Demikian juga dengan Kejadian 11, fasal ini mengandungi irama yang berulang dengan nama-nama yang tidak dikenali serta keluarga mereka seperti Sem, Selah, Eber, Nahor dan Terah (ayat 10–32). Saya kerap tidak ingin membaca bahagian ini dan beralih ke bahagian naratif Alkitab yang lebih biasa dan mudah difahami.

Memandangkan “semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna” (2 Timotius 3:16), Roh Kudus dapat menolong kita memahami seluruh Alkitab melalui “serpihan-serpihan cerita” ini. Misalnya, Dia juga membuka mata kita untuk melihat perkaitan antara Selah dengan Abram (Kejadian 11:12–26), nenek moyang Daud, dan yang lebih penting ialah Yesus (Matius 1:2, 6, 16). Tuhan suka memberi kejutan kepada kita dengan tingkap kaca berwarna yang sempurna, bahkan bahagian-bahagian kecil pun mengungkapkan kisah tentang misi Tuhan dalam seluruh Alkitab.