Ketika Colin membuka kotak kepingan kaca berwarna yang dibelinya, dia sepatutnya menerima serpihan-serpihan kaca untuk sebuah projek, sebaliknya dia mendapat beberapa keping tingkap kaca berwarna yang lengkap. Dia mengkaji latar belakang tingkap tersebut dan mendapati bahawa ia ditanggalkan dari sebuah gereja untuk melindunginya daripada pengeboman sewaktu Perang Dunia II. Colin kagum dengan kualiti kerja dan “serpihan-serpihan” pada daun tingkap itu membentuk sebuah gambar yang indah.
Secara jujur, ada kalanya saya membuka petikan Alkitab tertentu seperti fasal-fasal yang mengandungi salasilah, dan langsung tidak faham bagaimana ia sejajar dengan gambaran Alkitab secara keseluruhan. Demikian juga dengan Kejadian 11, fasal ini mengandungi irama yang berulang dengan nama-nama yang tidak dikenali serta keluarga mereka seperti Sem, Selah, Eber, Nahor dan Terah (ayat 10–32). Saya kerap tidak ingin membaca bahagian ini dan beralih ke bahagian naratif Alkitab yang lebih biasa dan mudah difahami.
Memandangkan “semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna” (2 Timotius 3:16), Roh Kudus dapat menolong kita memahami seluruh Alkitab melalui “serpihan-serpihan cerita” ini. Misalnya, Dia juga membuka mata kita untuk melihat perkaitan antara Selah dengan Abram (Kejadian 11:12–26), nenek moyang Daud, dan yang lebih penting ialah Yesus (Matius 1:2, 6, 16). Tuhan suka memberi kejutan kepada kita dengan tingkap kaca berwarna yang sempurna, bahkan bahagian-bahagian kecil pun mengungkapkan kisah tentang misi Tuhan dalam seluruh Alkitab.
ILHAM
Di dunia kuno, salasilah bukan selalu hanya sebuah rekod terus-terang bagi “siapa melahirkan siapa.” Sebaliknya, ia kadangkala digunakan untuk menunjukkan hubungan atau kedudukan yang sah. Ini menjadi penting khususnya apabila perlu untuk menelusuri garis keturunan kerabat diraja. Salasilah (selalunya ditelusuri kepada satu dewa) bertujuan untuk menunjukkan bahawa orang terakhir dalam garis keturunan itu adalah waris benar dan sah. Sebagai contoh, salasilah Yesus dalam kitab Lukas menelusuri garis keturunan Yesus hingga kepada Tuhan Sendiri (Lukas 3:23-38).Rekod salasilah sering membekalkan maklumat penting, seperti yang kita lihat dalam teks hari ini. Dalam Kejadian 11:26-32, kemandulan Sarai merupakan salah satu ciri yang menarik perhatian (ayat 30) dan menjadi salah satu elemen penting mengenai kisah itu yang selanjutnya (18:10-14).