Dalam sebuah filem popular, seorang pelakon memainkan watak sebagai ejen atlet yang berjaya, tetapi perkahwinannya mulai hancur. Dalam usahanya untuk menawan balik hati isterinya, Dorothy, dia menatap mata isterinya sambil berkata, “Kamu menyempurnakan hidupku.” Mesej yang mengharukan ini menggemakan satu kisah falsafah Yunani. Menurut mitos tersebut, kita cumalah “setengah” daripada satu bahagian dan mesti mencari “setengah bahagian yang lain” untuk menjadi lengkap.

Kepercayaan bahawa pasangan yang romantis dapat “menyempurnakan” kita kini menjadi sebahagian budaya popular. Adakah itu benar? Saya bercakap dengan banyak pasangan suami isteri yang masih berasa tidak lengkap kerana belum mendapat anak, dan pasangan lain yang mempunyai anak tetapi masih berasa ada sesuatu yang kurang. Pada dasarnya, tiada manusia yang dapat menyempurnakan kita.

Rasul Paulus memberikan penyelesaian lain. “Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga diberikan hidup sejati” (Kolose 2:9-10). Yesus tidak hanya mengampuni dan membebaskan kita, Dia juga menyempurnakan kita dengan membawa Tuhan ke dalam hidup kita (ayat 13–15).

Perkahwinan itu baik, tetapi kita tidak boleh menjadi sempurna melaluinya. Hanya Yesus yang dapat berbuat demikian. Daripada mengharapkan seseorang, kerjaya, atau apa sahaja untuk memenuhi kita, marilah kita menerima pelawaan Tuhan untuk membiarkan kepenuhan-Nya semakin mengisi kehidupan kita.