Pada tahun 2020, Hotel Dan di Yerusalem menjadi terkenal dengan nama lain, “Hotel Korona”. Kerajaan mendedikasikan hotel ini untuk para pesakit yang sedang pulih daripada COVID-19, sehingga ia terkenal sebagai tempat yang memberikan kegembiraan dan kesatuan yang jarang berlaku pada masa sukar ini. Memandangkan semua penginap sudah dijangkiti virus, maka mereka bebas untuk menyanyi, menari dan ketawa bersama. Itulah yang dilakukan mereka! Di negara yang ada ketegangan tinggi antara kumpulan politik dan agama yang berlainan, krisis yang dihadapi bersama ini mewujudkan ruang yang orang dapat belajar untuk melihat sesama sebagai manusia, bahkan menjadi kawan.

Memang wajar dan normal apabila kita tertarik kepada mereka yang kelihatan sama dengan kita, orang yang mungkin berkongsi pengalaman dan nilai yang serupa dengan kita. Tetapi seperti yang sering ditekankan oleh rasul Paulus, Injil mencabar batasan-batasan antara manusia yang kita anggap sebagai “normal” (2 Korintus 5:15). Melalui lensa Injil, kita melihat satu gambaran yang lebih besar daripada perselisihan kita, iaitu kita sama-sama mengalami kesedihan, mempunyai keinginan serta keperluan yang sama untuk menerima pemulihan dalam kasih Tuhan.

Sekiranya kita percaya bahawa “satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang,” maka kita juga tidak lagi berasa puas hati dengan tanggapan luaran mengenai orang lain. Sebaliknya, kita yang “dikuasai oleh kasih Kristus” (ayat 14) akan terdorong untuk berkongsi kasih dan misi-Nya kepada orang yang dikasihi Tuhan dan tidak terbayangkan—semua orang.