Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia. [ Roma 8:28 ]
Alexa, Siri dan peralatan pintar yang berfungsi berdasarkan perintah suara di rumah kami kadangkala tidak memahami apa yang kami katakan. Seorang anak yang berusia 6 tahun bercakap kepada peralatan pintar yang baru dibeli itu tentang biskut dan rumah patung. Kemudian ibunya menerima e-mel yang memaklumkan bahawa 3kg biskut dan rumah patung yang berharga RM700 sedang dihantar ke rumah mereka. Bahkan seekor burung kakak tua di London telah memesan sebuah kotak berwarna emas tanpa pengetahuan pemiliknya. Seorang lagi meminta peralatan itu untuk “nyalakan lampu di ruang tamu” dan ia membalas “tidak ada ruang timun.”
Tuhan tidak pernah salah memahami apa yang kita katakan kepada-Nya. Dia tidak pernah keliru, kerana Dia amat memahami hati kita lebih daripada kita sendiri. Roh Kudus menyelidiki hati kita dan memahami kehendak Tuhan. Rasul Paulus mengatakan kepada jemaah di Roma bahawa Tuhan berjanji untuk melaksanakan tujuan baik-Nya supaya kita menjadi matang dan semakin menyerupai Anak-Nya (Roma 8:28-29). Walaupun pada saat kita “lemah” dan tidak tahu apa yang kita perlukan untuk bertumbuh, Roh Tuhan berdoa sesuai dengan kehendak Tuhan untuk kita (ayat 26-27).
Adakah anda sukar untuk meluahkan isi hati anda dan tidak tahu bagaimana berdoa kepada Tuhan? Katakan apa yang ada dalam hati anda. Roh Kudus akan memahami dan menyempurnakan kehendak Tuhan.
Apakah yang terlintas dalam fikiran anda sekarang yang perlu anda nyatakan kepada Tuhan? Bagaimanakah kebenaran bahawa Dia mengetahui dan memahami apa yang anda hadapi dapat memberi anda galakan?
Tuhan, terima kasih kerana Engkau mengetahui hatiku. Itulah salah satu sebab Aku mengasihi-Mu. Tolonglah aku menyatakan fikiranku kepada-Mu, dan percaya bahawa Engkau memahaminya.
Oleh Anne Cetas | Lihat Penulis Lain
Kitab Roma paling berkemungkinan ditulis oleh rasul Paulus kepada orang Kristian di Roma semasa perjalanan mubaligh ketiganya (sekitar 57 TM). Dia menulis surat ini di Korintus bagi satu masa singkat sebelum menuju ke Yerusalem untuk menghantar persembahan yang dikutip oleh gereja-gereja di Asia agar menolong gereja yang ada keperluan di Yerusalem. Paulus belum menubuhkan gereja di Yerusalem, dan tidak pernah menemui ahli-ahlinya, tetapi dia telah mendengar tentang iman mereka dalam Yesus, “disebabkan seluruh dunia memperkatakan [iman mereka]” (Roma 1:8, AVB). Oleh itu, Paulus sangat ingin melawat, mendorong dan menguatkan mereka dalam iman mereka (ayat 11). Maka kita mempunyai penjelasan ajaib ini mengenai Injil: “Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi” (ayat 16).
Alyson Kieda