“Gembira betul berjumpa dengan anda!” Sapaan ini sangat mesra dan ramah. Anggota bagi satu pelayanan di California Selatan berkumpul atas talian sebelum program petang bermula. Selaku penceramah mereka yang membuat panggilan dari Colorado, saya memerhatikan dengan senyap ketika yang lain berkumpul dalam panggilan video. Sebagai seorang yang tidak suka bergaul dengan dunia luar dan tidak mengenali sesiapa, saya berasa diri seperti orang luar. Kemudian tiba-tiba sebuah skrin video terbuka dan dialah pastor saya. Kemudian skrin lain terbuka dan seorang rakan dari gereja lama turut menyertai program ini. Setelah melihat mereka, saya berasa lega dan tidak lagi sendirian. Tuhan nampaknya telah menghantar mereka untuk menyokong saya.
Elia juga tidak bersendirian walaupun dia berasa seperti “hanya aku [seorang nabi] yang masih hidup” setelah melarikan diri daripada pemburuan Izebel dan Ahab (1 Raja-Raja 19:10). Dengan mengembara di padang gurun selama 40 hari dan 40 malam, Elia bersembunyi di sebuah gua di Gunung Sinai. Tetapi Tuhan memanggilnya kembali ke dalam pelayanan dan memberitahunya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria. Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau” (ayat 15–16).
Tuhan kemudian meyakinkannya, “Namun Aku akan menyelamatkan tujuh ribu orang di Israel, iaitu mereka yang setia kepada-Ku dan belum pernah bersujud kepada Baal” (ayat 18). Seperti yang difahami Elia, kita juga tidak bersendirian ketika melayani Tuhan. Kita dapat melayani-Nya bersama-sama yang lain, ketika Tuhan menghantar pertolongan-Nya.